Saturday, 11 May 2013

What is constant in life is change


“What is constant in life is change” pernyatan ini merupakan satu kebenaran dan tidak dapat kita nafikan bahawa sepanjang hidup kita perubahan telah, sedang dan akan terus berlaku. Apa yang menjadi titik fokal kepada kita ialah bagaimanakah kita sebagai manusia mengadaptasi kepada perubahan-perubahan ini. Sebagai contoh, seorang remaja yang meningkat dewasa akan member reaksi apabila perubahan fizikal dan emosi berlaku pada diri mereka. Kepada mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan baik, ia akan menjadi pengalaman berharga buat diri dan sesuatu yang menyeronokkan. Seperti bait lagu Fauziah Ahmad Daud(Ogy) “Dalam kehidupan ini, yang terindah, melalui usia remaja”. Manakala remaja yang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan ini akan terdedah kepada konflik perwatakan dan seterusnya menyukarkan mereka terus membesar dalam suasana yang kondusif. Mereka merasakan dunia menekan dan menghambat mereka sehinggakan tiada apa yang dapat mereka lakukan selain dari mengikut arus semasa dan menghilangkan keresahan bersama rakan-rakan sebaya. Tambahan lagi dengan pergaulan bersama rakan-rakan yang mempunyai sifat negative mereka akan terjebak kepada aktiviti tidak bermoral seperti pergaulan bebas dan penyalahgunaan dadah.
 Ini merupakan contoh terbaik yang menunjukkan kita perlulah memikirkan cara dan mengatur strategi untuk mendepani cabaran perubahan. Bukan setakat itu, kita seharusnya dapat menjangkakan perubahan yang berlaku dan bertindak sewajarnya supaya perubahan tersebut menjadi perubahan yang sitematik dan lancar. Begitulah halnya dalam system pendidikan kita di Malaysia. Dalam beberapa tahun ini telah nampak beberapa perubahan besar yang memerlukan kita beradaptasi dengan kadar yang segera. Antaranya ialah sistem penilaian Pentaksiran Berasaskan sekolah. Sistem ini pada dasarnya ingin mencorakkan sistem pentaksiran yang kurang berorientasikan peperiksaan. Antara baik-burukya ialah sistem ini bergantung sepenuhnya kepada integriti guru yang menjadi pentaksir kepada pelajar sendiri. Ini dapat memberikan peluang dan ruang kepada guru untuk memanipulasi penilaian dan cenderung untuk memberikan markah yang tinggi kepada pelajar masing-masing. Kebaikannya pula guru merasakan lebih bertanggungjawab terhadap keputusan penilaian pelajar dan member peluang guru untuk menunjukkan profesionalisme dalam kerjaya mereka. Dengan sistem PBS juga pelajar mendapat peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka selaras dengan kemampuan dan latarbelakang mereka. Ini sesuai dengan fitrah manusia bahawa setiap manusia adalah berbeza dan setiap manusia perlu dilayan sebagai seorang individu berbeza. Sebagai contoh pelajar di luar bandar tanpa kemudahan fizikal yang mencukupi pastinya tidak mendapat peluang dan kemudahan yang setara dengan pelajar di Bandar. Maka penilaian dan tahap penguasaan mereka akan berbeza dan PBS membolehkan pelajar luar bandar mendapat layanan lebih adil dari segi penilaian. Cuma kontranya di sini ialah sejauh manakah PBS adalah instrument yang tepat untuk menilai pencapaian pelajar tersebut berbanding pelajar-pelajar lain di Malaysia?. Jika semua pelajar lulus cemerlang dalam PBS apakah bezanya antara satu pelajar dengan pelajar yang lain? PBS juga menyediakan ruang untuk guru menjalankan bentuk Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang berbentuk iteratif, iaitu guru dapat merancang P&P berdasarkan perkembangan murid. Maksudnya dari penilaian PBS guru dapat melihat sejauh mana pelajar dapat menguasai pelajaran dan ke manakah arah yang perlu dituju untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam subjek tersebut. Tetapi secara praktiklnya untuk melayani setiap pelajar secara individu adalah sesuatu yang amat sukar. Dalam masa 40 minit dengan 40 pelajar adakah 1 minit untuk satu pelajar mencukupi untuk pelajar tersebut mengembangkan pengetahuan dengan berkesan? Selain itu pengurusan evidens juga akan menjadi satu agenda baru dalam karier seorang guru.
                Dalam sistem MRSM sendiri perubahan yang berlaku ialah pada 2016 semua MRSM akan menjalankan dua kurikulum secara serentak iaitu kurikulum nasional dan International General Certificate of Secondary Education. Itu tidak termasuk lagi 3 MRSM yang menjalankan juga kurikulum Ulul Albab. Dalam menghadapi cabaran melaksanakan pelbagai kurikulum dengan serentak ia memerlukan ketahanan dan kepelbagaian dari pihak guru sendiri. Cabaran untuk menjalankan satu sistem adalah sukar maka untuk dua dan tiga sistem berbeza adalah terlebih sukar. Ini adalah satu perubahan yang berlaku akibat dari desakan dan keperluan stakeholder MRSM sendiri. Perubahan ini jika dilihat dari segi positif, dapat memberi pilihan bagi ibubapa yang memerlukan pilihan dari segi kurikulum yang terbeza daripada kurikulum nasional. Sememangnya diakui akan terdapat kesan-kesan rintangan dan penolakan dari golongan guru dan juga sistemik tetapi jika ia diatasi dan diadaptasi dengan baik maka ia boleh menjadi kekuatan sistem MRSM dan juga sebagai penerus hayatnya. Perubahan telah, sedang dan akan terus berlaku. Persoalannya adakah kita cukup bersedia untuk bersama berubah untuk menjadi sesuatu yang lebih baik?

No comments:

Post a Comment