“What is constant in life is change” pernyatan ini merupakan
satu kebenaran dan tidak dapat kita nafikan bahawa sepanjang hidup kita
perubahan telah, sedang dan akan terus berlaku. Apa yang menjadi titik fokal
kepada kita ialah bagaimanakah kita sebagai manusia mengadaptasi kepada
perubahan-perubahan ini. Sebagai contoh, seorang remaja yang meningkat dewasa
akan member reaksi apabila perubahan fizikal dan emosi berlaku pada diri
mereka. Kepada mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan baik, ia akan menjadi
pengalaman berharga buat diri dan sesuatu yang menyeronokkan. Seperti bait lagu
Fauziah Ahmad Daud(Ogy) “Dalam kehidupan ini, yang terindah, melalui usia
remaja”. Manakala remaja yang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan ini akan
terdedah kepada konflik perwatakan dan seterusnya menyukarkan mereka terus
membesar dalam suasana yang kondusif. Mereka merasakan dunia menekan dan
menghambat mereka sehinggakan tiada apa yang dapat mereka lakukan selain dari
mengikut arus semasa dan menghilangkan keresahan bersama rakan-rakan sebaya.
Tambahan lagi dengan pergaulan bersama rakan-rakan yang mempunyai sifat
negative mereka akan terjebak kepada aktiviti tidak bermoral seperti pergaulan
bebas dan penyalahgunaan dadah.
Ini merupakan contoh
terbaik yang menunjukkan kita perlulah memikirkan cara dan mengatur strategi
untuk mendepani cabaran perubahan. Bukan setakat itu, kita seharusnya dapat
menjangkakan perubahan yang berlaku dan bertindak sewajarnya supaya perubahan
tersebut menjadi perubahan yang sitematik dan lancar. Begitulah halnya dalam
system pendidikan kita di Malaysia. Dalam beberapa tahun ini telah nampak
beberapa perubahan besar yang memerlukan kita beradaptasi dengan kadar yang
segera. Antaranya ialah sistem penilaian Pentaksiran Berasaskan sekolah. Sistem
ini pada dasarnya ingin mencorakkan sistem pentaksiran yang kurang
berorientasikan peperiksaan. Antara baik-burukya ialah sistem ini bergantung
sepenuhnya kepada integriti guru yang menjadi pentaksir kepada pelajar sendiri.
Ini dapat memberikan peluang dan ruang kepada guru untuk memanipulasi penilaian
dan cenderung untuk memberikan markah yang tinggi kepada pelajar masing-masing.
Kebaikannya pula guru merasakan lebih bertanggungjawab terhadap keputusan
penilaian pelajar dan member peluang guru untuk menunjukkan profesionalisme
dalam kerjaya mereka. Dengan sistem PBS juga pelajar mendapat peluang untuk
meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka selaras dengan kemampuan dan
latarbelakang mereka. Ini sesuai dengan fitrah manusia bahawa setiap manusia adalah
berbeza dan setiap manusia perlu dilayan sebagai seorang individu berbeza.
Sebagai contoh pelajar di luar bandar tanpa kemudahan fizikal yang mencukupi
pastinya tidak mendapat peluang dan kemudahan yang setara dengan pelajar di
Bandar. Maka penilaian dan tahap penguasaan mereka akan berbeza dan PBS
membolehkan pelajar luar bandar mendapat layanan lebih adil dari segi
penilaian. Cuma kontranya di sini ialah sejauh manakah PBS adalah instrument
yang tepat untuk menilai pencapaian pelajar tersebut berbanding pelajar-pelajar
lain di Malaysia?. Jika semua pelajar lulus cemerlang dalam PBS apakah bezanya
antara satu pelajar dengan pelajar yang lain? PBS juga menyediakan ruang untuk
guru menjalankan bentuk Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang berbentuk
iteratif, iaitu guru dapat merancang P&P berdasarkan perkembangan murid.
Maksudnya dari penilaian PBS guru dapat melihat sejauh mana pelajar dapat
menguasai pelajaran dan ke manakah arah yang perlu dituju untuk meningkatkan
penguasaan pelajar dalam subjek tersebut. Tetapi secara praktiklnya untuk
melayani setiap pelajar secara individu adalah sesuatu yang amat sukar. Dalam
masa 40 minit dengan 40 pelajar adakah 1 minit untuk satu pelajar mencukupi
untuk pelajar tersebut mengembangkan pengetahuan dengan berkesan? Selain itu
pengurusan evidens juga akan menjadi satu agenda baru dalam karier seorang
guru.
Dalam
sistem MRSM sendiri perubahan yang berlaku ialah pada 2016 semua MRSM akan
menjalankan dua kurikulum secara serentak iaitu kurikulum nasional dan
International General Certificate of Secondary Education. Itu tidak termasuk
lagi 3 MRSM yang menjalankan juga kurikulum Ulul Albab. Dalam menghadapi
cabaran melaksanakan pelbagai kurikulum dengan serentak ia memerlukan ketahanan
dan kepelbagaian dari pihak guru sendiri. Cabaran untuk menjalankan satu sistem
adalah sukar maka untuk dua dan tiga sistem berbeza adalah terlebih sukar. Ini
adalah satu perubahan yang berlaku akibat dari desakan dan keperluan
stakeholder MRSM sendiri. Perubahan ini jika dilihat dari segi positif, dapat memberi
pilihan bagi ibubapa yang memerlukan pilihan dari segi kurikulum yang terbeza
daripada kurikulum nasional. Sememangnya diakui akan terdapat kesan-kesan
rintangan dan penolakan dari golongan guru dan juga sistemik tetapi jika ia
diatasi dan diadaptasi dengan baik maka ia boleh menjadi kekuatan sistem MRSM
dan juga sebagai penerus hayatnya. Perubahan telah, sedang dan akan terus
berlaku. Persoalannya adakah kita cukup bersedia untuk bersama berubah untuk
menjadi sesuatu yang lebih baik?
No comments:
Post a Comment